TOTAL VISITORS FROM 2008:

ORANG HALUS DAN HANTU JEMBALANG II 4

1. Saya amat tertarik dengan komen terhadap tulisan saya berkenaan tajuk di atas. Ada yang cuba takrifkan iblis, syaitan dan jin sebagai orang halus. Sebenarnya kita tidak diberitahu dalam Al-Quran besar atau kecilnya iblis, syaitan dan jin. Yang kita diberitahu ialah iblis dan syaitan cuba memengaruhi pemikiran kita supaya membelakangkan ajaran Islam, melakukan yang dilarang, yang tidak baik. Untuk menghalang pengaruh mereka kita membaca ayat-ayat Al-Quran supaya dikukuhkan iman kita semula.

2. Tetapi orang yang percaya kepada orang halus ini meminta izin daripada mereka ini apabila masuk hutan atau tempat-tempat tertentu. Air jampi disimbah kesana-sini. Ini bermakna kita memberi kuasa kepada makhluk ghaib ini. Al-Quran tidak menyuruh kita meminta perlindungan daripada iblis dan syaitan yang kononnya adalah orang halus dan makhluk ghaib.

3. Antara makhluk yang ghaib dengan ghaib terdapat perbezaan yang banyak. Kita tidak dapat lihat tuhan kita Allah s.w.t., malaikat, syurga dan neraka. Tetapi sebagai orang Islam kita terima adanya semua ini. Tetapi dalam fahaman orang Melayu ada pula makhluk lain yang kita tidak nampak tetapi berkuasa keatas kita. Janganlah cuba menyamakan hantu jembalang, pelesit dan orang halus dengan malaikat. Jangan cuba samakan orang halus dengan kuman bakteria yang membawa penyakit. Kuman memang halus tetapi bukan ghaib. Kita tahu penyakit tertentu yang dibawa oleh kuman tertentu. Kita boleh baca doa apabila diserang penyakit-penyakit ini tetapi Al-Quran menyebut bahawa Allah s.w.t. tidak akan memperbaiki nasib kita (menyembuh penyakit kita) melainkan kita berusaha memperbaikinya. Dan percubaan kita adalah dengan makan ubat atau bedah. Kita juga terima walaupun kita berusaha, tidak semestinya kita sembuh jika tidak diizinkan Tuhan.

4. Saya ingin cerita sedikit berkenaan kepercayaan orang Melayu.

5. Dahulu orang Melayu berperang dengan orang Siam. Kepercayaan orang Melayu ialah orang Siam mempunyai ilmu ghaib. Mereka percaya orang Siam boleh kebalkan diri dan meresap.

6. Apabila tentera Melayu berhadapan dengan tentera Siam, mereka naik takut kononnya melihat tentera Siam ini meresap, terbang ke sana sini dan tidak boleh ditembusi peluru atau senjata lain.

7. Dengan kepercayaan ini mereka percaya mereka tidak mungkin kalahkan pasukan tentera Siam. Dan mereka pun lari dikejar oleh tentera Siam dan ramai yang dibunuh.

8. Kita tahu sebenarnya tentera Siam adalah manusia biasa. Tetapi kerana kepercayaan yang tidak berasas ini kita naik takut. Sekarang ini pun ada sedikit sebanyak kepercayaan seperti ini. Fikirkanlah kalau tentera kita mempunyai kepercayaan seperti ini apakah dapat mereka mempertahankan negara.

9. Sebenarnya tidak ada orang luarbiasa yang boleh lindungi kita daripada makhluk ciptaan mereka. Yang boleh melindungi kita ialah Allah s.w.t. Kita perlu usaha tetapi jika Tuhan tidak menentukan kita akan pulih atau berjaya kita tidak akan pulih dan berjaya. Samada kita percaya akan pulih atau tidak, usaha kearah pemulihan dan kejayaan mesti dibuat.

10. Sampai bilakah kita hendak simbah air di keliling hospital dan pejabat untuk mendapat perlindungan daripada orang halus dan hantu jembalang?

11. Bukankah aneh apabila orang yang kononnya boleh melindung hospital daripada orang halus, apabila sakit mencari doktor juga, bukan di hospital yang telah disimbah air tetapi di luar negeri.

4 thoughts on “ORANG HALUS DAN HANTU JEMBALANG II

  1. Malaysia Bagus Dec 31,2013 10:06 AM
    Salam Tun,

    mohon izin terlebih dahulu, dan maafkan saya seandainya nanti ada pembaca terguris rasa. Adapun saya sekadar berkongsi pandangan …

    1. Sesuatu yang tak dapat dilihat (ghaib) memang tak dapat diukur secara fizikal maupun empirikal. Ia cuma boleh diterangkan secara lisan. Ada kitab yang menyebut bahwa lebar sayap malaikat Jibril boleh menutupi horizon, tapi pada waktu yang sama muat pula untuk masuk ke dalam gua hira yang sempit tu. Jadi kita boleh buat kesimpulan bahawa dalam soal ghaib, ‘size does not matter’, kerana tidak seperti saiz enjin dalam industri otomobil, rupa dan saiz malaikat pun boleh berubah-rubah mengikut suasana dan masa. Maka kerana itu al-Quran tak menyebut pun apa ukuran sebenar iblis, syaitan, ifreet dan jin untuk elak kekeliruan berpanjangan. Lagipun, apa faedahnya untuk kita tahu, kalau ianya tak membantu kehidupan seharian kita di dunia? Saya anggap ianya suatu “paradoks yang perlu” dalam agama.

    2. Orang Islam memang diajar membaca doa bila masuk hutan, bila memotong pokok, bila turun ke laut dan juga bila pergi berperang. Malahan Rasul saw mengingatkan tentera baginda yang berperang supaya jangan abai mengosok gigi, walaupun ramai sahabat yang tak nampak apa relevannya amalan ini dalam menentukan supaya kemenangan berpihak kepada mereka. Mungkin Richard Dawkins, penulis buku The God Delusion pun akan bersependapat dengan para sahabat.

    3. Bagi seorang yang buta penglihatan, semua makhluk adalah gelap dan ghaib/terlindung – termasuklah boss, isteri, hantu, kuman, jinn dan malaikat. Walaupun tak nampak, orang buta tahu dan peka tentang adanya macam-macam makhluk dan objek di sekeliling. Mereka terpaksa belajar guna deria yang lain untuk ‘melihat’ dunia. Contohnya, kita tak nampak bau, tapi kita tahu ada orang kentut dalam LRT apabila bau itu sampai kepada kita dan kita akan cuba mengelaknya walaupun dengan tidak berjaya. Sungguhpun ghaib, kita tmemang sedia ahu kesan negatifnya terhadap kita. Maksudnya, ghaib di mata tak semestinya ghaib di hati atau di minda atau di hidung dan telinga.

    4. Saya fikir perkataan yang lebih sesuai ialah ‘Waham’ atau ‘delusion’, untuk mengambarkan minda orang Melayu yang sangat lemah dalam subjek sains, bahasa Inggeris dan logika.

    5. Cerita Siam yang Tun sebut itu boleh kita kaitkan dengan “Waham Bizarre”, yang merupakan waham yang aneh. Termasuk dalam kategori waham bizarre, antara lain: Waham sisipan fikir / thought of insertion (percaya bahawa seseorang telah memasukkan fikirannya ke kepala pesakit); waham siar fikir / thought of broadcasting (percaya bahawa fikiran pesakit dapat diketahui orang lain, orang lain seakan-akan dapat membaca fikiran pesakit); waham sedut fikir / thought of withdrawal (percaya bahawa seseorang telah mengambil keluar fikirannya)

    6 & 7 – Waham Curiga, yakni curiga patologi sehingga curiganya sangat berlebihan; dan Waham Kawalan Fikir, apabila propaganda musuh telah menguasai dan melemahkan semangat dan jatidiri mereka. Yang ini, PM Najib kena ambil perhatianlah.

    8. Ini bermakna mereka tidak dilengkapkan dengan ilmu yang berguna untuk menjalankan tugas dengan efisen dan bermanfaat. Kadang-kadang di sekolah, kita dipaksa belajar subjek yang langsung tak berguna dalam hidup seharian! Pastinya, ia bukanlah kesinambungan dari tradisi ayat al-Quran ‘kami dengar, maka kami pun ikut’, walaupun sistem pendidikan kita akan tidak teragak-agak untuk hijack idea yang sama sebagai terapan nilai.

    9. Saya fikir, dalam kehidupan yang semakin materialistik kini, kita perlu lebih peka kepada Sunatullah dan menghayatinya secara ikhlas dan jelas. Mungkin kerana tidak ada apa yang romantik jika disebut kita, orang Islam, beriman dengan ‘Law of Gravity’ atau ‘Law of Natural Selection’ atau ‘Law of Diminishing Utility’ walaupun semua itu adalah hukum yang telah ditetapkan oleh Allah. Namun, orang Melayu lebih senang dengan isu Haram-Halal yang lebih konkrit dan beku seperti menjawab soalan objektif dalam peperiksaan junior Cambridge.

    10. Mungkin performance orang halus dan hantu jembalang lebih meyakinkan berbanding ustaz dan doktor? Kerana buktinya, sekarang ni terlalu banyak ustaz yang turut jadi pak lawak memberi tazkirah keagamaan dalam industri hiburan, manakala semakin ramai doktor yang menjadi salesman untuk syarikat farmaseutikal, sehingga mengesyorkan suntikan insulin secara leluasa kepada pesakit diabetes hanya kerana mahu memperbaharui stok dari jadual procurement kementerian kesihatan.

    11. Tak payah lah sebut nama dia 🙂

  2. saffanskot22 Dec 31,2013 8:50 AM
    Salaman Tun dan Selamat Menyambut Tahun Baru.
    Saya ada menyentuh didalam penulisan saya untuk sesama rakan atau lebih tepat lagi Skot saya terutama mengenai penghujung comment Tun mengenai ayaq jambi. I termed those as Merchant of Faith. Mungkin ada relevannya, sila feel free to browse : http://www.saffanskot22.com/2013/07/merchant-of-faith.html?utm_source=BP_recent. yang ditulis pada bulan Ramabhan yang lalu.
    Z
  3. mamat Dec 30,2013 9:30 PM

    Salam..
    Saya pernah berjumpa Dengan tuan guru haji shamsuddin ..cerita yang sama Dengan Tun 🙂

  4. amin tan Dec 30,2013 5:29 PM
    Salam Tun,
    Saya amat setuju dengan huraian Tun di atas. Rukun iman berkehendakkan kita percaya wujudnya alam ghaib, termasuk Allah, malaikat, jin, shaitan iblis dan bukan berurusan dengan pelesit, puja hantu bela mereka dengan telor atau memberi makanan dengan menyembelih ayam berbulu putih dan sebagainya. Mereka tidak faham dunia fisikal
    dan meta fisikal yang ghaib yang mempunyai dimensi yang berbeza.
    Mereka yang nampak hantu, lembaga, atau makhluk halus yang ghaib selalunya imaginasi mereka semata2. Nama lagi ghaib. Ada yang percaya kepada ilmu kebal yang boleh diperolehi dengan berzikir dan membaca ayat tertentu walhal nabi Muhammad sendiri tidak kebal.
    AlQuran suruh amal maarof nahi mungkar, bukan suruh kaji selidik atau berkawan dengan hantu. Wallahu alam.

    amin tan

Leave a Reply