TOTAL VISITORS FROM 2008:

RAYA DI LONDON 13

1. Saya berada di London untuk beraya bersama anak dan cucu. Mereka tidak dapat balik untuk beraya di K.L.

2. Untuk sembahyang Raya, saya ke masjid baru di Acton. Masjid ini bukan milik kerajaan tetapi oleh NGO. Keadaan amat selesa. Dewan sembahyang dipenuhi 90% oleh orang Melayu Malaysia, kebanyakannya penuntut.

3. Imam yang mengimamkan sembahyang dan berkhutbah adalah seorang orang Melayu Singapura yang tinggal di London sejak tujuh tahun dahulu. Khutbahnya amat baik, menyeru kepada kehidupan orang Islam seperti yang dikehendaki agama Islam – iaitu berbaik-baik sesama orang Islam dan juga dengan bukan Islam.

4. Lepas sembahyang ada sedikit jamuan kuih-muih, lemang dan serunding. Saya dan isteri berkesempatan berbual-bual dengan hadirin, termasuk penuntut. Saya dapati penuntut tidak langsung bertanya akan keadaan di Malaysia, terutama politik. Mereka ternampak takut walaupun mesra.

5. Saya diberitahu kemudian bahawa mereka dimarah oleh Kerajaan Malaysia (tidak diberitahu siapa) kerana berada di tempat yang saya berada. Sebenarnya tidak ada penuntut yang berjumpa saya di masa-masa lain pun. Mereka takut biasiswa mereka ditarik balik. Demikian sifat Najib.

6. Najib nampak amat takut saya mempengaruhi penuntut. Sebenarnya saya diberitahu bahawa penuntut atau bukan penuntut di mana-mana sahaja amat benci kepada Najib kerana sebab-sebab yang diketahui umum.

7. Di zaman dahulu, parti lawan bebas berjumpa dengan penuntut di mana-mana sahaja. Mereka dapat mendengar syarahan pemimpin parti lawan, bahkan menubuh kelab-kelab parti lawan. Tetapi sekarang mereka tidak lagi bebas, terutama jika melibatkan saya.

8. Hari Raya adalah hari istimewa. Bagi umat Islam kita perlu sembahyang bersama, berslam-salaman, memohon maaf zahir dan batin, bermesra. Najib mungkin tidak faham ini.

9. Saya diberitahu rumah terbuka Najib meriah dan ada hibur-hiburan. Alhamdulillah. Saya ucap Selamat Hari Raya kepada Najib dan keluarganya serta penyokong-penyokongnya. Tanpa dipinta, saya maafkan mereka-mereka yang sepanjang tahun memfitnah saya khususnya TV3, Utusan Malaysia, New Straits Times, Salleh Said Keruak, Tunku Aziz, Annuar Musa dan beberapa lagi.

10. Kami suami isteri melawat kawasan menara terbakar. Polis tidak benarkan sesiapa mendekati menara terbakar ini.

11. Saya telah lihat di TV semasa saya masih di Malaysia kebakaran yang berlaku. Ternampak api yang membakar menara ini pelik dan berbeza sangat dari rumah terbakar lain. Ia seperti jamong gergasi. Dari bawah api naik di luar bangunan. Sebabnya ialah bahan yang digunakan sebagai dinding luar dari jenis yang mudah terbakar.

12. 80 orang dikesan mati terbakar kerana kebakaran bermula dari tingkat empat hingga ke bumbung, dalam dan luar.

13. Kerajaan mengarah supaya penduduk empat menara berdekatan yang diperbuat dengan bahan yang serupa supaya keluar dan tinggal di hotel.

14. Sembilan puluh peratus penduduk menara yang terbakar terdiri dari orang afrika, Arab dan Asia. Ramai dari mereka orang Islam. Bangunan ini dimiliki oleh dewan bandaraya.

15. Beratus-ratus jiran memberi pertolongan sukarela. Makan dan minum diberi percuma dan sukarelawan juga mengurus bantuan beribu kotak. Ramai yang menabur bunga di kawasan berdekatan, terutama di sekitar gereja.

16. Kerajaan sedang berusaha menurunkan bahan mudah terbakar dari hampir seratus menara di London dan bandar-bandar lain.

17. Sesungguhnya kebakaran menara ini merupakan satu malapetaka yang perlu dijadikan pengajaran kepada semua kita. Saya percaya menara di Malaysia biasanya diperbuat bahagian luarannya dari simen, batu-bata dan granite yang tidak mudah terbakar. Namun demikian, “fire-drill” perlu diadakan supaya penghuni tahu bagaimana menyelamat diri mereka. Tangga-tangga keselamatan perlu berada dalam keadaan tidak diganggu dengan barangan.

18. Saya dan keluarga ucap takziah terhadap keluarga mangsa kebakaran menara di London.

13 thoughts on “RAYA DI LONDON

  1. YEN Jul 7,2017 8:13 AM

    Selamat Hari Raya. Semoga Malaysia terus maju dan dijauhkan dari segala musibah.

  2. Ingat Akhirat Jul 4,2017 3:45 PM

    Cut n Paste from Someone to Karl Iskandar and tagosan4.

    A foreigner living in Malaysia posted this;

    “When I came to Malaysia, corruption was a Crime.
    Later it became Acceptable.
    Now it is Legal.
    I better leave Malaysia before it becomes Compulsory”.

    You guys will be questioned in the Judgement Day on why you advocated the proven ill-doings and lies of Najib.

    Ingat Akhirat

  3. Hajar Jul 3,2017 11:30 PM

    Salam YAB dan Yang DiKasihi Tun,

    1. Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada Tun sekeluarga. Maaf zahir dan batin.

    2. Tahun hadapan saya bercadang untuk beraya di London atau di bandar lain di Eropah seperti Tun :). Saya sudah pernah beberapa kali beraya di luar negara (sebagai pelajar). Pernah juga merasa ada peperiksaan pada hari raya 🙁 .

    3. PM Najib @ Ah Jib Gor nampaknya sudah tidak dapat lagi beraya dan ‘shopping sakan’ di Eropah dan US (buat masa ini). Inipun boleh dikira sebagai satu bentuk ‘hukuman / pembalasan’. Saya tidak dapat bayangkan jika saya sudah tidak boleh lagi (‘takut’) menjejakkan kaki di Eropah dan US.

    4. Takziah kepada keluarga mangsa kebakaran Menara Grenfell di London. Tragedi yang amat menyayat hati.

    Terima kasih Tun.

    ** Semoga Allah SWT sentiasa melindungi dan merahmati Tun sekeluarga **

  4. musato Jul 3,2017 9:37 PM

    Assalamualaikum Tun.

    Saya terbaca tentang keraguan Exco Pendidikan DAP Johor berkenaan apa perkara yang PPBM dapat janjikan selain daripada mahu menjatuhkan Najib?

    Dalam erti kata lain, bagaimana PPBM ingin membina kembali negara yang rosak jika menang pilihanraya? Kerana pemuda Melayu DAP ini tidak nampak apa apa yang utuh yang dapat dijanjikan oleh pemimpin PPBM.

    Pandangan saya adalah seperti yang saya tuliskan berkenaan keraguan oleh Tuan Ibrahim Tuan Man yang mana PAS risau tentang perkara menjatuhkan kerajaan.

    Tiada erti apa apa walau saya menulis di sini kerana saya bukannya memegang jawatan tertinggi dalam PPBM, tetapi di dalam blog ini saya tuliskan bahawa tasawuf akan menjadi satu perkara yang meneraju negara Malaysia pada masa mendatang.

    Samada betul atau tidak, wallahua’lam. Namun saya telah jelaskan bagaimana penyelesaian berkenaan MH17 dan krisis ekonomi 2008 berkenaan harga minyak naik mendadak dijumpai jalan penyelesaiannya.

    Saya bukanlah warak dan alim. Malah amalan pun kurang.

    Namun apa lagi tawaran yang dapat saya janjikan melainkan jalannya adalah tasawuf dan tarekat dalam membina negara bangsa?

    Satu doa dan ingatan kita kepada pejuang pejuang pemimpin seperti Sultan Muhammad al Fateh dan Salahuddin al Ayyubi.

    Apa lagi yang lebih besar panduannya dalam membangunkan negara melainkan dari panduan Al Quran dan Sunnah Rasulullah saw.

    Terima kasih Tun.

  5. asahamat Jul 3,2017 8:59 PM

    Assalamualaikum wbt Tun

    Kes DOJ makan masa utk dibuktikan Najib MO1 samun duit. Sebabnya mudah. First “polis” adalah DOJ. DOJ perlu buktikan duit 1MDB itu haram. Kalau itu dpt dibuktikan, barulah ada Money Laundering di USA. Jadi selagi duit
    1MDB tidak dapat dibuktikan duit haram, so kes DOJ akan terkoteng2. Najib MO1 ka, 1MDB ka, apa lagi AG; semua sudah jelas tidak akan bagi kerjasama kpd DOJ utk buktikan duit 1MDB itu haram.

    (2) Namun, kebenaran tetap ada, cuma proses pembuktiannya akan memakan masa. Biar selwpas PRU14, mungkin belum selesai juga.

    (3) Jadi utk guna kes DOJ utk tumbangkan Najib MO1, berpeluh jugalah akhirnya. Itupun belum tentu orang Kampung boleh terima.

    (4) So apa yg boleh Bersatu @ PH buat. Kekuatan UMNO adalah di Felda dan Undi Post. Maka apakah perkara close to their hearts yg Najib MO1 telah khianati yg boleh diguna utk mengubah angin fikiran mereka. Saya kira Tun pasti tahu maka gasaklah ke arah itu.

    TQ

  6. asahamat Jul 3,2017 8:42 PM

    Assalamualaikum wbt Tun.

    Salam Lebaran*. Semoga Tun dan seluruh angkatan yg ikhlas berjuang utk Bangsa, Agama dan Negara terus dikuatkan kesabaran, dicurahi hidayah dan kental Iman dan Taqwa. Mudah2an sihat segar twrus berjuang semua.

    p/s * Lebar dlm istilah Jawa maksudnya “sesudah @ selesai”. Contoh “lebar mangan cuci tangan” – selepas makan cuci tangan. Jadi “Lebaran” maksudnya ” selepas puasa ….

  7. johnmansfield Jul 3,2017 2:50 PM

    Hello Tun,
    Seasons greetings to you and your family. Welcome to my country.
    I fully understand the students being wary. I saw you in London, where I met your very personable wife briefly, and presented her with my Children’s book. The students I met at that event would not talk openly about Malaysian politics, because “they were Malaysian”.
    A bit sad really.
    All the best to you and yours,
    John mansfield

  8. mima2715 Jul 3,2017 11:52 AM

    Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin kepada Tun dan juga Isteri.
    Diharap Tun curahkan segala ilmu dan didik generasi sekarang jadi pemimpin yang berwibawa untuk pimpin negara.
    Masalah di mana mana negara di era ini, adalah kebanyakkan pemimpin dari generasi lepas peperangan yang masih ingin kekal berkuasa dan tidak yakin pada generasi muda. Semua mengharap masa depan yang cerah untuk Malaysia, kita semua mahu melihat negara bebas dari pemimpin yang rakus, berkepentingan, gila kuasa, penting kan diri sendiri, tidak bertanggungjawab kpd rakyat digantikan dengan menyerahkan tanggungjawab kepada orang muda yang berinspirasi, punyai idea baru, bebas dari korupsi, faham tanggungjawab masing-masing terhadap rakyat dan semestinya punyai kelayakkan yang sepatutnya. Tetapi realitinya rakyat dikonkong untuk mempunyai pendapat sendiri, menyebabkan generasi sekarang tiada upaya untuk membuktikan diri sendiri, dan hilang keyakinan. Pemimpin sekarang punyai kuasa tanpa batas yang membuat rakyat hilang kuasa untuk bertindak apa lagi bersuara. Oleh itu masa depan dirasa amat kabur untuk diduga selagi rakyat masih digari. Dari negara arab hinggalah Malaysia, pemimpin muslim tunduk kepada kapitalis dan rakyat diikat untuk patuh aturan agama, tapi sebaliknya mereka berselindung menggunakan agama untuk kawal rakyat dari memberotak, sedangkan mereka bebas membuat apa saja mereka mahu.

  9. shahir Jul 3,2017 5:46 AM

    Untuk Tun..
    saya mengucapkan selamat hari raya buat seluruh keluarga tun disana.

    Disini saya ingin menyampaikan satu permintaan buat Tun selaku mantan Perdana Menteri yang amat disegani oleh Para pemimpin dunia.
    Saya berharap disaat-saat akhir suara Tun didengari oleh dunia,saya ingin sekali mendengar tun memberikan ucapan pada dunia dalam bahasa melayu didalam forum,debat atau apa-apa jenis ucapan diluar negara tanpa menggunakan bahasa inggeris.
    sekiranya mereka diluar sana masih kuat pegangan dan kepercayaan pada pendapat Tun,sudah pastinya mereka akan menggunakan traslator untuk mendapatkan kata-kata yang dilontarkan.
    jadikan satu syarat buat mereka diluar sana apabila ingin berbual atau mengadakan sesi taklimat,mereka harus membawa translator bersama kerana Tun hanya akan menyampaikan taklimat dalam bahasa melayu.
    jadikan bahasa melayu kita ini mencapai tahap seperti apa yang jepun lakukan bagi memartabatkan bahasa ibunda mereka.
    bagi pendapat saya,hnya Tun yang mampu memulai satu sejarah baru ini,kemudian akan disusuli oleh generasi yang mendatang setelah muncul kembali seseorang yang sama seperti Tun di Tanah Melayu ini.
    saya hnya rayat biasa dan hanya dengan cara ini sahaja saya mampu menyuarakan pendapat saya kepada Tun.
    saya juga teringin sekali berjumpa dengan Tun untuk menjadi anak didik dalam mempelajari gaya pemikiran yang mendapat didikan dari Tun sendiri.Mungkin kita tidak ada jodoh untuk berjumpa,dan dengan nukilan ini sahaja saya mampu sampaikan buat Tun.
    sekiranya ini adalah satu kesalahan,maafkan bagi pihak saya.
    sekian.

  10. rimba.emas Jul 2,2017 11:52 PM

    Salam Tun.

    1. Tun maafkan mereka-mereka yang sering berbicara tentang Tun terutamanya perkara-perkara tidak benar.

    2. Malangnya tidak pula terdengar pihak-pihak yang Tun sebutkan tu mohon maaf kepada Tun sebagai mana kita bermaaf -maafan bila bertemu.

    3. Tidak tahu pula mungkin Tun ada berjumpa secara ‘personel’ dan bermaafan tampa di hebohkan.

    4. Bermaaf memang di tuntut tetapi persoalan memaaf perkara haram dalam agama perlukan ampunan dari pada tuhan yang di sembah.

    5. Bukan setakat memohon ampun tetapi perkara jahat itu wajib di tinggalkan dan terbaiknya jangan diulanggi kembali.

    6. Jadi kalau Tun maafkan bukan bermakna persoalan seperti mencuri atau menggugat ekonomi negara Malaysia sudah selesai.

    7. Bagi tuhan umat Islam yang melakukan curang dalam ekonomi negara atau rakyat di gelar celaka serta dilaknat oleh Allah s. w. t.

    8. Di ingatkan akan azab seksa neraka kepada yang curang dalam perniagaan. Bermakna penyelesaiannya bukan mudah di hapuskan di dunia ini.

    9. Malah makin susah bila di kelilingi manusia yang bernafsu harta dunia tanpa keteguhan iman.

    10. Bila Tun bercerita Berhari Raya di tempat asing seperti di London dan tiada yang berlainan dalam kehidupan rakyat yang satu agama walau di negara lain.

    11. Agama , bangsa dan negara berlainan hidup dalam ilmu pengetahuan yang di pelajari sebelum semuanya akan di adili tuhan yang menjadikannya.

    Wallahua’lam.

  11. zahid ismail Jul 2,2017 7:35 PM

    Assalamu’alaikum Tun.
    Selamat Hari Raya.
    You are truly a Statesman.

  12. You Me Jul 2,2017 12:13 PM

    Selamat Hari Raya. Semoga ceria disamping anak2 dan cucu2.

  13. musato Jul 2,2017 9:10 AM

    Assalamualaikum Tun.

    Tahun ni saya beraya di rumah baru.

    Rumah yang lebih luas sikit dari rumah sebelum ni. Cuba tanam sendiri rumput karpet, tapi dah hampir hangus terbakar sebab tinggalkan dia selama 5 hari beraya sakan.

    Rumah lama dengar kata abam abam polis baru lepas Pulapol nak sewa. Habislah saya, sekarang polis nak duduk pulak rumah saya…

    Sekarang saya tak bekerja pulak dah. Duk goyang kaki sambil bising bising kat anak anak tanda kita bertanggungjawab?

    Tapi setakat projek roti inti kacang merah dan inti kaya tu, masih berjalan. Alhamdulillah.

    Tapi saya rasa, Tun patut juga berterima kasih pada wife saya sebab masih sudi dermakan gelombang internet untuk saya bersembang dengan Tun.

    Almaklumlah, saya ni sekejap kerja, kejap tak kerja.

    Tun buat kerja apa sekarang?

    Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin pada Tun dan Tun Siti. Kirim salam sekali kat Tun Siti neh.

    Terima kasih Tun.

Leave a Reply