TOTAL VISITORS FROM 2008:

BEER 14

1. Saya diberitahu ramai yang marah saya kerana tidak menyatakan sokongan saya terhadap bantahan perayaan beer (beer festival – Oktober Fest) oleh orang bukan Islam.

2. Bagi saya kalau orang bukan Islam yang tidak haramkan minum alkohol atau beer hendak minum beer sampai pengsan, itu masalah mereka. Yang penting mereka jangan timbul masalah kepada orang lain, atau memandu kereta di waktu mabuk.

3. Yang saya amat dukacita ialah penyalahgunaan dadah oleh anak orang Islam sehingga menyebabkan kematian 23 murid sekolah tahfiz apabila mereka membakar asrama sekolah.

4. Ternampak seolah-olah orang Islam menerima pembunuhan murid ini sebagai perkara biasa. Ya. Memang ada mereka yang berpendapat ini semua takdir. Oleh itu terima sahajalah. Seperti yang telah dinyatakan oleh guru tahfiz, anak yang mati setelah ke sekolah tahfiz akan menunggu ayah dan emak di pintu syurga kelak.

5. Tetapi bagi saya soal yang timbul ialah kenapa ada anak orang Melayu / Islam yang terlibat dengan dadah. Kenapa tidak didengar anak Cina dan India terlibat dengan dadah. Apakah ini juga takdir. Tidak adakah apa-apa yang boleh dibuat untuk menentu anak Melayu / Islam menolak dadah?

6. Allah SWT berfirman dalam Al Quran bahawa Allah tidak akan memperbaiki keburukan yang menimpa manusia melainkan manusia itu sendiri cuba memperbaikinya terlebih dahulu.

7. Penagihan dadah disebabkan kurang kawalan anak oleh ibu bapa di zaman ini. Tanggungjawab menyemai sikap menolak dadah sepatutnya diletak di bahu guru agama dalam sekolah.

8. Tetapi di sekolah, selain dari mengajar ibadat tertentu untuk pahala tidak ada tekanan yang cukup terhadap pengajaran budi pekerti Islam; terhadap dosa pahala, baik buruk, amalan hidup dalam Islam. Dengan itu anak mudah terjebak dengan yang tidak baik, termasuk penggunaan dadah.

9. Jika kerana disemai dengan kawalan diri mencegah yang buruk dan mengamal yang baik (amal ma’aruf nahi mungkar) sebagai sebahagian dari tuntutan agama Islam, kemungkinan perlakuan perkara-perkara yang dilarang akan berkurangan. Tetapi setakat yang saya tahu tidak ada latihan dan pengajaran secara sistematik dalam bidang ini di sekolah-sekolah.

10. Ilmu sahaja tidak berguna jika tidak dikawal oleh budaya yang baik. Saya amat malu membaca laporan berkali-kali akan perlakuan yang tidak baik oleh orang Islam, terutama anak muda. Saya berpendapat perkara ini perlu diberi perhatian lebih oleh orang Islam dan bukan melarang orang bukan Islam minum beer.

11. Ini adalah pendapat saya. Jika nak kecam dan nak marah saya kerana tidak memecah botol beer di hadapan pejabat MB, marahlah.

12. Oktober Fest, perayaan minum beer pada bulan Oktober adalah tradisi budaya orang Jerman.

13. Jerman menerima satu juta pelarian Islam dari Syria. Apakah balasan pelarian ini kepada orang Jerman sebagai tuan rumah ialah dengan melarang mereka dari minum beer dalam Oktober Fest mereka.

14. Orang Melayu berkata jaga tepi kain sendiri. Tentukan kita jangan minum beer dan kita tak makan dadah. Itu lebih baik dari pecah botol beer.

14 thoughts on “BEER

  1. Bungalalang Oct 20,2017 7:04 PM

    Salam tun..

    Saya sokong sangat pendirian tun berkenaan beer fest..

    Di antara cabaran menerajui sebuah negara yg berbilang kaum & agama memang perit.. Tapi sebenarnya mudah & menyerlahkan lagi daya kepemimpinan kita..

    Rakyat malaysia bukan kolot.. Kalau kita bagitahu kita tak boleh menyertai atau menyokong perkara yg di larang agama .. Pasti rakyat negara ini faham.. Malah rakyat cina, hindu dan agama lain akan lebih menghormati kita.. Kerana pasti mereka akan kata kita adalah seorang yg berprinsip..

    Tiada agama yg menyuruh berbuat kejahatan dan keburukan.. Ugama islam lagi lah agama Allah agama Tuhan yg menciptakan dan mentabbir sekelian makhluk dan seluruh alam..

    Belum tentu orang yg melaungkan slogan agama mempunyai cukup kekuatan utk buat apa yg Tun buat.. Syabas kpd Tun..

    Dulu saya berkerja dgn company cina.. Mereka selalu bertanya kpd saya tentang PAS.. Sebab saya PAS.. Bila isu amanat haji hadi.. Sudah tentu menjadi peluru berpandu bagi mereka.. Tapi saya jawab.. Yg betul kita ambik yg salah kita tolak.. Jadi saya mengatakan saya tak bersetuju dgn fatwa itu.. Itu pendapat personal hj hadi tentang kefahaman agamanya..yg pada saya tidak selari dgn agama islam ..

    Mereka cina kata saya matang dlm politik..terimalah seadanya.. Ha ha ha

  2. asahamat Oct 12,2017 8:23 PM

    Assalamualaikum wbt Tun.

    Babi itu haram. Sangat haram. Apapun pd babi adalah haram. Nak guna nama babi utk namakan katalah “Jamal”, lagilah tak elok. Haram hukumnya menamakan “Jamal” sebagai Babi. “Jamal” itu manusia. Silap2 Melayu Muslim. Haram menamakan dia babi.

    (2) Siapa kita nak halang yg sukakan babi dari makan dan pelihara babi. Membenar sesiapa makan dan pelihara babi tidak membawa dosa kpd sesiapapun. Bahkan kita selama ini tiada masalah dgn yg suka makan dan pelihara babi. Kita telah ada cara dan batas bagi perkara ini. Islam sudah tentukan batas dan caranya. Kita ikuti batas dan cara itu, maka kita tiada masalah dlm soal babi.

    (3) Bagi Melayu, Melayu (saya tidak katakan Islam), antara babi dan arak, hak mana Melayu lebih haramkan? Pastinya babi! Ramai Melayu
    minum arak. Tetapi haram dipukul matipun Melayu tak akan makan babi.

    (4) So kenapa bab babi yg Melayu sifatkan lebih haram, kita berpunya cara utk tanganinya, sedang arak tidak? Semua kerana kebodohan dan kedayusan politik Melayu!

    (5) Dadah Melayu ambil di tepi2 longkang dan bawah jambatan yg sekitarnya hancing. Cina, India dll ambil dadah bahkan lebih hebat dari dadah di club2 high class! Did not all these ring the Malays’ brains?

    (6) To me, if say we dance to this stupid childish Jamal game, we indeed is as pariah in thought as him.

  3. TokJanggut Oct 12,2017 3:31 PM

    Bismillah

    surat Ar-Ra’d ayat 11. ….إِنَّ اللَّهَ لا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ …. artinya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka ” .

    Apa yang diperkatakan oleh tun adalah benar. Dan dalam konteks arak dan dadah kedua2nya mendatangkan mudarat bagi yang mengamalkannya. Tetapi sesungguhnya orang2 yang paling teruk adalah mereka yang sudah mengetahui kebenaran tetapi masih melakukan hal tersebut sedangkan bagi mereka yang masih tidak tahu hal yang sebenar die termasuk dalam kalangan orang2 yang jahil yang tidak tahu hakikat yang sebenar. Justeru pendapat Tun yang mengatakan dari kalangan orang melayu lebih mengambil dadah adalah tidak wajar bertepatan dengan yang terjadi sejak akhir2 ini. Seperti yang tun sedia maklum .. yang mengatakan melayu sinonim dengan ISLAM adalah juga tidak wajar dikala ini kerana . Islam bukan untuk sesuatu bangsa … islam adalah untuk semua dan ia tidak tertakluk pada tempat .. masa .. keadaan . Kerana ISLAM itu adalah satu cara hidup mempersatukan ummah di bawah petunjuk dan panduan Tuhan yang MAHA ESA lagi MAHA PERKASA. Dan berkenaan dengan orang yang belum mengetahui tentang hakikat sebanar islam mereka yang meminum arak adalah kerana mereka masih tidak memahami kenapa ALLAH Tuhan semesta alam melarang meminum minuman yang memabukan adalah terdapat kemudaratan didalamnya. Ianya bergantung pada setiapo individu dalam mengendalikan kehidupannya sejajar dengan fittrah manusia itu sendiri. Bukan ALLAH yang menzalimi diri kamu .. bahkan kamulah yang menzalimi diri kamu sendiri dan membinasakan diri kamu sendiri. Tiada paksaan dalam melakukan kebaikan tetapi setiap perlakuan baik dan buruk itu akan dihitung satu persatu di Akhirat kelak mengikut individu itu sendiri. Kebaikan yang kamu lakukan akan berbalik kepada kamuj sendiri dan kejahatan yang kamu lakukan juga akan berbalik kepada kamu sendiri. Sekiranya kamu berpaling dari ALLAH .. maka sesungguhnya ALLAH tidak berhajat pada makhluk sedikit pun. Sebaliknya makhluklah yang berhajat pada tuhan yang menciptakannya. Segala puji bagi ALLAH tuhan Sekelian alam. Selawat dan salam keatas Nabi Junjungan Nabi MUhammad SAW , Keluarga baginda serta sahabat2 baginda dalam memperjuangkan Haq ALLAH dan Hukum2 Tuhan iaitu kebenaran dan keadilan sejagat.

  4. Sri Sense Oct 11,2017 10:43 PM

    Salam Tun

    Bila Tun sebut sekolah tahfiz, I teringat tak lama selepas kejadian itu I dapat message dalam whatsapp group minta derma 50 ringgit satu kepala sebab sipolan ini terlibat dengan pembukaan sekolah tahfiz yang baru di tempat lain.

    Malah sipolan ini juga minta kami war war kan kepada ramai tentang niat suci nya.

    Well dengan kejadiaan mengakibatkan kematian murid2, I doubt the suci in the niat, I terus deleted the message.

  5. Hajar Oct 11,2017 9:35 PM

    Salam YAB dan Yang DiSanjungi Tun,

    1. Memang tidak wajar pelarian Islam Syria masuk campur dalam tradisi ‘OctoberFest’ orang Jerman (jika benar mereka melarang orang Jerman minum beer) yang sememangnya disambut oleh mereka saban tahun. Sudahlah menumpang (pendatang) di negara orang, mahu tunjuk lagak pula.

    2. Tetapi yang peliknya mengapa pula Malaysia (majoriti beragama Islam – Negara Islam) perlu akur dengan desakan golongan yang mahu adakan pesta arak (OctoberFest/Pesta Arak) di tempat umum? Siapa ‘tuan rumah’ di Malaysia? Orang Jermankah? Orang Inggeriskah?

    3. Masalah utama orang Melayu di Malaysia ialah mereka ini LEMAH (tetapi tidak sedar; boleh lagi kata orang lain yang lemah/rapuh / goyang, etc.), dan sentiasa ingat mereka perlu menghormati tradisi orang lain walaupun tradisi tersebut buruk dan mendatangkan kemudaratan kepada umat Islam (orang awam). Orang Islam sebegini sanggup menggadai agama untuk kepentingan duniawi dan untuk memuaskan hati orang kafir.

    4. Siapa boleh jamin tiada orang Islam akan terpengaruh dengan pesta arak tersebut? Siapa boleh jamin tiada yang mabuk sambil memandu atau mendatangkan kemudaratan/ masalah lain kepada orang awam? Jadi eloklah kita mencegahnya.

    5. Tidak perlu pergi ke Pejabat MB untuk pecahkan botol beer – kerja bodoh @ sia-sia. Ini budaya samseng. Siapalah agaknya yang memulakan budaya samseng di Malaysia ini? Sikit-sikit mahu tunjuk perasaan dan berdemonstrasi. Kalau ia sudah jadi satu budaya, memang sukar untuk membendungnya. Tapi, biasalah, kalau orang lain buat memang nampak jahat, tetapi kalau diri sendiri buat nampak baik pula. Sebab itu saya berpendapat yang dua-dua pihak sama hampeh!

    6. Kalau ada yang nak kutuk dan nak marah saya kerana tidak menyokong ‘OctoberFest/ Beer Fest’ diadakan di Malaysia marahlah. Saya tidak rugi apa-apa. Yang rugi ialah umat Islam yang jahil lagi lemah dan tidak tahu hak dan kewajban sebagai seorang Islam.

    Terima kasih Tun.

    – Semoga Allah SWT sentiasa merahmati Tun sekeluarga –

  6. adelheid Oct 11,2017 5:03 PM

    Tun,

    Just nak share dengan Tun apa kata Prof Ridhuan Tee Abdullah mengenai isu ‘suci bersih mengikut kaum’ ini…
    https://m.malaysiakini.com/news/397991

  7. Mkt Oct 11,2017 5:00 PM

    Much to be said…

    Only one thing Stands Out Tall in HISTORY : VINTAGE Dr.Mahathir Mohamad!!

    p/s: 1. It’s not abt “bodek” (Dr.M) as above all else, RESPECT IS EARNED,
    AND CANNOT BE “BOUGHT” (..with cash, position even if the title
    “T..” is taken away!..PEOPLE REMEMBERS)

    2. Period.

    3. May ALLAH BLESS u WITH GOOD HEALTH Dr..

  8. zz Oct 11,2017 10:12 AM

    Salam Tun,
    Saya setuju dengan sudut pandan tun.

    Saya fikir org melayu/islam lazimnya ingkar pd 3 sifat asas:
    1. Amanah
    2. Menepati janji
    3. Menepati masa.

    Kerap org melayu/islam menyatakan ‘insyaAllah’, dan kerap juga hanya lah pd lafaz nya sahaja. Tapi jgn di pertikaikan, walau tiada ikhtiar & tanggungjawab pd lafaz perkataan itu.

    Inilah mentalitinya. Emosi pd agama Islam ttp cetek pada cabang2 ilmu lain yg juga adalah sebahagian ilmu Islam.

    Betul Tun katakan, bila mengguna bahasa Arab, org melayu terpesona & jgn disoal.

    Kini lebih tenat kerana perdana menteri et al pun telah ingkar 3 perkara yg saya katakan tersebut termasuk para ‘ilmuan’ islam yg berpolitik. Tetapi org melayu/islam masih tidak boleh menerima kenyataan kerana kecenderungan ekspresi ilmu Islam yg semakin disempitkan.

  9. Fariq Islam Oct 11,2017 9:43 AM

    Assalamualaikum, Tun.

    Komen Tun waras. BEER ini tidak ada kena-mengena dengan umat. Arak haram di sisi agama, di kalangan umat-umat, tetapi peminuman bukan umat tidak mendatangkan sebarang kemundaratan. Ini hak mereka.

    Janganlah biar orang lain mengutuk yang pihak penjuang Islam di Malaysia ini bertindak secara fanatik!

    Peganglah nilai-nilai murni Islam secara ikhlas dan berimam, bukannya untuk motif politik!

  10. zz Oct 11,2017 9:20 AM

    Salam Tun,

    Saya setuju dgn sudut pandang Tun. Saya berpendapat ada 3 asas permulaan utama yg rata2 org melayu/islam ingkar:
    1. Amanah
    2. Menepati masa
    3. Menepati janji.
    Perkara2 diatas pernah saya utarakan dlm suatu seminar jalinan ukhwah usahawan Prosper.

    Saya nyatakan juga, bila org melayu kata insya Allah jgn dibantah! Walaupun org yg menyatakan itu tidak mengambil apa2 tindakan atau ikhtiar utk bertanggaungjawab pada ‘insya Allah’.

    Malangnya inilah mentalitinya, itu belum disebut yg bersangkut Islam…

    Akhirnya pada sesi seminar tersebut saya seolah-olah dihindari & bersendirian sahaja setelah saya mengatakan pasal 3 hal itu.

  11. Anak.muda Oct 10,2017 1:03 PM

    Assalamualaikum tun.

    1.memang betul tun.saya fikir satu langkah untuk mengelakkan kita menjadi penyangak di kemudian hari adalah menekankan subjek pendidikan moral di sekolah.

    2.mempelajari sirah nabi adalah perlu juga tetapi ia adalah indirectly..budak2 xpaham apa yang tesirat.die cuma nampak apa yang tersurat.

    3.orang pas saya fikir lebih baik jangan mengaku beragama islam lah.tukar jadi agama melayu pas.

    4.mereka sangat perihatin kepada orang bukan islam minum arak.mcm saya kata lebih baik dia ambil peduli berkenaan kebajikan orang islam.contohnya menghisap rokok adalah berdosa disisi islam.lebih baik die bermula dengan haramkan orang islam menghisap rokok di kelantan.haramkan orang islam membeli rokok di kelantan.

    5.kuman diseberang laut minum arak nampak.gajah di depan mata hembus asap rokok ke muke kau buat xtahu pula.

    6.eh memang perlu lah buat2 x nampak nnt hilang undi dari orang melayu pula.

    Insaflah pas wahai penunggang agama sekalian.

    Tolong jaga kesihatan tun.saya berharap tun bertanding di putrajaya.kami sekeluarga akan menyokong tun 🙂

  12. adelheid Oct 10,2017 12:06 PM

    Dear Tun,

    Semoga Tun sehat dan menjaga keselamatan selalu.

    Tun, saya merasa bertuah kerana dilahirkan dalam sebuah keluarga yang melihat dua kebudayaan. Walaupun dapat memahami dan menerima kedua-dua budaya bangsa itu tetapi sepanjang usia saya juga telah dapat menilai kedua-dua budaya dan membuat penilaian peribadi sepanjang yang dilalui.

    Secara jujur dan berterus-terang saya mengagumi sebelah ibu saya kerana mereka punya sikap yang menghormati hak orang lain, tidak memaksa pendapat mereka ke atas orang lain, menjaga hal mereka sendiri. Anak-anak mereka selain dititikberatkan akademik juga masa mereka dipenuhi dengan aktiviti yang bermanfaat sama ada tuition, sukan, kelas muzik. Saya juga merasa selesa dan tidak takut-takut berada di kalangan atau tempat yang ada ramai mereka – saya tidak risau beg tangan diragut misalnya jika minum kopi hailam dan makan roti kaya telur separuh masak di kedai roti mereka.

    Saya mempunyai sedikit reservation walau bagaimanapun bila bercakap mengenai keluarga sebelah arwah bapa. Selain mempunyai pengalaman-pengalaman yang tidak membanggakan boleh dikatakan pahit kerana sikap mereka yang amat gemar mencari kesalahan orang lain walaupun mereka tidak berusaha memperbaiki diri mereka sendiri. Manakala ibubapa mereka sering bertelagah sesama sendiri kerana isu-isu hartabenda, anak-anak mereka pula agak terabai tidak begitu ditegaskan persekolahan dan seumpamanya, jika anak-anak mahu ponteng dibiarkan sahaja. Maka anak-anak mereka ramai yang berjinak dengan dadah, merempit motorsikal dan berlumba haram. Apabila ditegur mereka amatlah sensitif dan menjadi emosional dan enggan menerima pendapat serta nasihat orang lain. Mereka mengugut kita pula dengan ancaman memecahkan rumah kita. Belum lagi bercakap mengenai kata-kata kejian mereka terhadap kita. Saya terus terang saya risau dan amat berhati-hati apabila berjalan di kawasan mereka berbanding di Petaling St. (kini kawasan ini pun sudah ramai pendatang myanmar, bangla, indo yang bekerja mencari nafkah).

    Satu perkara yang saya suka hendak highlight juga adalah penggunaan perkataan ‘festival’ dan ‘pesta’ pada beer festival itu. Penggunaan perkataan ‘pesta’ itu atau ‘pesta arak’ seolah-olah hendak menggambarkan betapa buruknya dengan gambaran mabuk dan sebagainya. Padahal ‘beer festival’ itu tujuannya hendak mempromosi jenama-jenama minuman tersebut di kalangan peminat-peminat mereka yang bukan Islam kerana umum ketahui budaya mereka yang mengambil minuman ini di hari-hari perayaan mereka. Ajaibnya mereka ini tidak pula minum hingga mabuk hingga hilang kewarasan…sebab saya ingat mereka masih ada rasa tanggungjawab terhadap diri dan orang sekeliling. Mereka masih boleh berfikir tidak hendak menjadi nuisance atau gangguan terhadap orang lain.

    Bertahun-tahun selama usia hidup saya telah memikirkan betapa sikap kedua-dua belah keluarga ibu dan bapa saya adalah ketara berbeda. Tetapi nak buat macam mana. Yang jaga tepi kain sendiri atau yang jaga dalam kain orang…kita pilih dan tentukanlah pilihan kita sendiri.

    Take good care dear Tun Mahathir. Love you dearest Tun!

  13. RD. Oct 10,2017 10:56 AM

    Saya amat setuju dengan pandangan Tun.

    Sudah berpuloh-puloh tahun Kerajaan yang ditunjangi Melayu\Islam membenarkan kilang-kilang Beer dibuka. Cukai terhadap minuman berakohol dinaikkan begitu tinggi sekali dan sudah tentu Kerajaan telah banyak mengaut faedah cukai yang banyak dari bisness arak.

    Jadinya, bila kita melarang orang bukan-Islam minum beer dalam Oktober Fest, ia menjadi pelik dan mencerminkan pemikiran orang-orang Islam tak tentu-hala.

  14. ismadi Oct 10,2017 10:46 AM

    As Salam Yg Berbahgia Tun Mahathir,

    Benar. Orang Melayu telah dibelenggu dengan sentiment Islam yg melampau. Arak itu haram bagi orang Islam. Utk bukan orang Islam,lantaklah asalkan tidak menganggu orang Islam.

    Orang Melayu yang cuba menjadi juara Islam pula riuh rendah membantah Pesta Arak oleh yang bukan Islam. Kenapa? Mencemarkan kesucian agama Islam kata mereka.

    Mereka tidak faham kepada perkongsian kuasa dan menghormati budaya kaum masing masing.

    Paling orang Melayu juara Islam ini cuai ialah mereka tidak melihat kepada diri dan keluarga sendiri. Adakah ilmu dan amalan mereka sudah cukup apabila dibawa mengadap Allah swt nanti? Bila mengata, mengutuk dan memperlecehkan, orang Melayu ada juara di kalangan semua kaum di negara sendiri.

    Saya teringat apabila Orang Melayu di pilih sebagai Presiden Singapura. Ada orang Melayu di Malaysia menyatakan Presiden itu sebagai boneka. Manakala di Singapura pula, ada yg bukan Melayu menentang pelantikan melayu sebagai Presiden Singapura. Di manakah martabat bangsa Melayu apabila kaum sendiri mengutuk beliau sebagai Presiden Singapura sementara kaum bukan Melayu sedaya upaya ingin menaikkan kaum mereka ke jawatan tersebut.

    Agama Islam yg Allah swt kurniakan kepada kita adalah suci dan mulia.

    Jangan dikotorkan dengan pemikiran sempit.

    Bertolak ansur, sabar dan menangani setiap masalah dengan berhemah. Itu ajaran Rasulullah SAW dan bukan ajaran dari sesetengan kepimpinan orang Melayu yang cuba menjuarai Islam dengan tafsiran sempit.

    Selamat Berjuang Tun Mahathir.

    Take care.

    Wassalam wbt.

Leave a Reply