TOTAL VISITORS FROM 2008:

MAJLIS PEMULIHAN NEGARA

1. Saya merasa terpanggil untuk berkongsi sedikit pandangan berkait dengan Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang ditubuh oleh Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yassin baru-baru ini.

2. Perlu saya jelas bahawa cadangan MPN ini pertama kali saya bentang kepada DYMM Yang di-Pertuan Agong ketika saya menghadap Baginda pada hari Khamis, 10 Jun lepas.

3. Ketika itu saya mengambil peluang mencadangkan penubuhan satu badan ala-MAGERAN 1969 yang boleh dinamakan Majlis Pemulihan Negara ataupun National Recovery Council. Ketika itu saya tidak berikan nama-nama ahli yang saya ingin cadangkan.

4. Cadangan penubuhan MPN ini timbul kerana rata-rata terdapat sentimen bahawa Kerajaan ini sudah gagal amat meluas dan krisis semakin bertambah.

5. Dengan jumlah kes baru mencapai 17,000 amat jelas sentimen bahawa Kerajaan ini gagal bukanlah satu retorik politik.

6. Kegelisahan kerana keadaan ekonomi yang merudum menambah kepada kemarahan dan ketidak-puasan hati rakyat terhadap Kerajaan. Hari ini rakyat sudah mula bawa kemarahan mereka ke jalanan.


7. Sekarang Kerajaan telah membuat keputusan untuk menubuh MPN Kerajaan. Ianya dipengerusi oleh Tan Sri Mahiaddin dan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri penyelaras MPN.

8. Menyuruh orang yang berkali-kali gagal memperbaiki kegagalan yang disebabkan oleh kegagalan mereka bukanlah sesuatu yang bijak.

9. Selain itu, turut dilantik ialah Menteri-Menteri Kabinet yang juga sebahagian dari Kerajaan yang gagal ini.

10. Ketika saya memberi cadangan penubuhan MPN kepada Yang di-Pertuan Agong, saya telah memikir secara amat mendalam keahlian badan itu yang saya yakin dapat membantu Negara mengatasi krisis ini selain menyediakan rancangan jangka panjang pemulihan.

11. Keahlian MPN ini seperti yang telah saya tekankan mestilah tidak mempunyai ahli politik parti-parti kerana mereka akan mempertimbang kepentingan parti mereka dahulu dan tidak rakyat dan Negara.

12. Keduanya, ahli-ahli mestilah terdiri dari pakar, berpengalaman, berupaya menangani krisis serta orang muda yang dinamik telah memperlihat kesungguhan membantu rakyat dan Negara.

13. Beberapa ahli politik yang saya cadang tidak boleh terikat dengan parti mereka.


14. Nama-nama yang hendak saya cadang dan kenapa saya cadang mereka adalah seperti berikut:
Tan Sri Rafidah Aziz
Tan Sri Lin See Yan
Tan Sri Mohd Hassan Marican
Tan Sri Mohamed Azman Yahya
Prof. Dr Jomo K. Sundram



15. Selain itu, dalam bidang perubatan, saya mencadangkan:
Tan Sri Dr. Abu Bakar Suleiman
Datuk Prof Dr Adeeba Kamarulzaman
Emeritus Prof Datuk Dr Lam Sai Kit
Datuk Dr Musa Nordin
Datuk Dr Amar Singh HSS
Dr Kumitaa Theva Das



16. Saya juga ingin mencadang beberapa pakar perundangan yang perlu untuk memastikan segala tindak-tanduk MPN itu tidak mencabar kedaulatan undang-undang dan perlembagaan Negara:
Prof Emeritus Datuk Shad Faruqi
Prof Dato’ Salleh Buang


17. Untuk mengatasi masalah pendidikan, saya bercadang memberi penekanan kepada pembelajaran dari rumah dan menggunakan televisyen dan program-program yang dirakam oleh ahli-ahli akademik, guru-guru dan pendidik terbaik supaya ibu bapa mudah membantu anak mereka dan ini dapat dirangka oleh:
YAM Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz
Tan Sri Mohd Shukri Ab Yajid
Samuel Isaiah


18. Saya juga ingin cadangkan beberapa nama ahli politik untuk menyertai MPN dan mereka dipilih bukan kerana politik kepartian tetapi di atas beberapa usaha yang telah mereka lakukan:
Datuk Seri Azalina Othman Said
Hannah Yeoh
Ahmad Fahmi Fadzil,
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman


19. Saya percaya dengan menghadkan keahlian tidak lebih 20 orang, keputusan dan tindakan dapat dibuat dengan cepat.

20. Cadangan untuk melantik mereka tidak bermakna pegawai-pegawai tinggi Kerajaan akan terpinggir. Saya cadang supaya Panglima Angkatan Tentera, Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah Kesihatan dan kesemua Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian, Setiausaha-Setiausaha Kerajaan Sabah dan Sarawak serta Negeri-Negeri lain di Semenanjung dilantik sebagai ex-officio. Mereka ini akan dijemput hadir bila berkaitan dengan peranan mereka.

21. Setiap dari anggota-anggota MPN ini boleh, dengan kepakaran dan pengalaman mereka membentuk sub-committee mereka sendiri untuk mencadang langkah-langkah perlu dan diaju kepada MPN.

22. Jika mereka dilantik dan MPN diberi kuasa untuk menangani krisis yang dihadapi Negara secara fokus dan terancang, saya yakin badan ini akan mampu membantu Negara keluar dari kemelut yang begitu menggerunkan.


23. Nama-nama yang disenarai di atas dibuat tanpa pengetahuan dan persetujuan mereka. Saya bagaimanapun percaya, dengan perkenan DYMM Yang diPertuan Agong, apabila mereka dijemput menjadi anggota MPN, mereka akan bersetuju kerana ini satu National Service atau khidmat Negara.

24. Jika MPN yang saya cadangkan ini diterima, badan ini akan dapat berfungsi dengan segera dan hit the ground running.

Leave a Reply