TOTAL VISITORS FROM 2008:

Kepimpinan UMNO masih “in denial” 1

Saya ucapkan terimakasih kepada pelawat chedet.com terutama
pembahas-pembahas yang telah memberikan pandangan serta komentar mereka
terhadap penulisan saya.

Saya telah siarkan hampir semua
komentar yang dihantar. Saya ingin mengingatkan sekali lagi kepada
semua pelawat yang saya terima semua komentar dan akan siarkan
kesemuanya kecuali yang mengandungi bahasa kesat. Marilah kita
sama-sama menjaga tatatertib di dalam blog ini.

Saya juga akan
memberi maklum balas kepada isu-isu yang saya rasakan perlu dan meminta
maaf kerana tidak mungkin akan dapat memberi jawapan kepada semua
soalan yang ditujukan pada satu posting.

Berkenaan
dengan penulisan saya yang sebelumnya, saya kurang faham akan teguran
Alex Yap mengapa saya tidak sebut Tan Cheng Lock, pemimpin MCA dan
pemimpin-pemimpin lain yang telah berjuang untuk kemerdekaan.

Saya
bukan bincang berkenaan dengan perjuangan untuk kemerdekaan. Saya juga
bukan bincang berkenaan dengan MCA ataupun Perikatan dan Barisan
Nasional.

Saya bincang berkenaan UMNO dan pemimpinnya di waktu
tertentu. Di waktu melawan Malayan Union, pemimpin tertinggi UMNO ialah
Dato Onn Jaafar. Tan Cheng Lock, Tan Siew Sin, V.T. Sambanthan bukan
pemimpin UMNO.

Semasa perjuangan untuk kemerdekaan pemimpin UMNO
ialah Tunku Abdul Rahman. Tun Tan Siew Sin dan Tun V.T. Sambanthan
bukan pemimpin UMNO. Demikian pembangunan Malaysia yang pesat berlaku
semasa kepimpinan UMNO melibatkan tiga orang Presiden UMNO.

Jika
saya bincang berkenaan Perikatan dan Barisan Nasional saya perlu sebut
pemimpin-pemimpin Perikatan dan Barisan Nasional. Tetapi tumpuan saya
terhad kepada UMNO dan pemimpinnya.

Demikian prestasi buruk UMNO
pada 2008 perlu dipertanggungjawabkan ke atas pemimpin UMNO. Ia tidak
boleh dipersalahkan kepada pemimpin MCA, MIC, Gerakan dan lain-lain
parti komponen Barisan Nasional. Jika saya bincang berkenaan prestasi
buruk Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum 2008 maka barulah saya
perlu sebut nama pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional.

Ada
pendapat di kalangan pemimpin dan sebahagian ahli UMNO bahawa apa yang
perlu dibuat sekarang ialah bersatu padu dan memberi sokongan tak
berbelah bahagi kepada Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Masalahnya
kekalahan UMNO disebabkan oleh Dato Seri Abdullah sendiri. Dia mendapat
sokongan padu UMNO pada 2004. Sepatutnya sokongan ini ditunjuk dalam
Pilihanraya Umum 2008. Tetapi dalam jangka masa 2004-2008, orang ramai
dan ahli-ahli UMNO sendiri melihat keburukan Kerajaan pimpinan Dato
Seri Abdullah seperti yang disebut di dalam blog saya dan mereka mahu
Dato Seri Abdullah berhenti daripada menjadi Perdana Menteri.

Sekarang ini ramai yang secara terbuka menyatakan hasrat mereka untuk Dato Seri Abdullah meletak jawatan.

Bagaimanakah
boleh ada pendapat bahawa Dato Seri Abdullah patut diperkuatkan melalui
sokongan padu kepadanya sedangkan hasrat dan tujuan sebahagian ahli
UMNO mengundi parti lawan ialah untuk menentukan Dato Seri Abdullah
letak jawatan.

Ahli dan penyokong UMNO dan Barisan Nasional yang
telah mengundi parti lawan hanya akan kembali kepada UMNO dan BN jika
hasrat mereka tercapai – iaitu Dato Seri Abdullah tidak lagi menjadi
Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Jika hasrat mereka tidak tercapai
besar kemungkinan mereka kekal sebagai penyokong parti lawan. Dengan
itu penyokong dan ahli UMNO akan terus berkurangan dan UMNO serta
Barisan Nasional akan terus lemah.

Inilah mesej sebenar dari
Pilihanraya Umum ke-12. Jika kepimpinan UMNO masih tidak faham, masih
“in denial” pemulihan UMNO dan BN tidak akan dapat dilaksanakan dan
UMNO serta BN akan kalah lebih teruk dalam Pilihanraya Umum ke-13. Akan
tamatlah riwayat UMNO.

Kata Hang Tuah “Takkan Melayu hilang di
dunia”. Tetapi apakah jenis Melayu yang tak hilang ini? Apakah yang
tinggal ini Melayu yang dihina dan diperhambakan, Melayu yang
meminta-minta daripada orang lain, Melayu yang tidak berkuasa di negara
sendiri?

Sama-samalah kita renungkan.

One comment on “Kepimpinan UMNO masih “in denial”

  1. MRRM220794 Jul 8,2008 1:07 PM

    salam Tun,
    Ini cuma pandangan saya yang mungkin berakal pendek. DSAAB menang pilihanraya 2004 bukan sebab rakyat yakin dengan pentadbirannya, tetapi rakyat menyokong BN pada masa itu kerana masih dlm keadaan sedih dan teramat menyayangi TUN kerana TUN baru bersara dan ingin menyokong perjuangan TUN selama ini, tapi TUN lihat pilihanraya pada tahun 1999 dimana BN juga goyah, kerana rakyat bengang dengan apa terjadi kepada ex-TPM DSAI. Sewaktu TUN dgn DSAI dulu, seolah-olah satu gabungan yg amat secocok, ramai org sukakan DSAI kerana watak dan keperibadiannya, tetapi apabila berlakunya tragedi itu, seolah-olah rakyat tergamam dan membenci TUN kerana bukan semua rakyat mempercayai akhbar. dari detik itu hingga pilihanraya 2004, rakyat kembali ke pangkuan BN kerana tragedi DSAI sudah luput dan dimaafkan. Menyokong BN pada 2004 adalah kerana TUN bukan DSAAB.
    wasalam,

Leave a Reply