TOTAL VISITORS FROM 2008:

SAMPAH


1. Saya ucap terima kasih kepada semua agensi Kerajaan dan pihak lain yang terlibat di dalam gotong royong pembersihan sampah terapung dari perairan Kuah ke Bukit Malut pada hari Selasa 21hb September.

2. Saya bangga kerana tindakan cepat diambil setelah isu ini diketengahkan pengguna media sosial.

3. Langkawi sudah dibuka kepada pelancong semula. Tidak lama lagi, pelancong asing dari luar negara juga akan mula berkunjung semula.

4. Mereka ke Langkawi untuk menikmati keindahan pulau setelah lebih dua tahun tersekat akibat COVID-19. Sudah tentu tidak ada sesiapa yang mahu lihat sampah sarap bertaburan di pulau ini.

5. Saya terbaca di Pulau Bali dan di beberapa pulau peranginan di Thailand, penduduk setempat bergotong-royong bersihkan pulau sementara ianya tertutup kepada pelancong.

6. Mungkin pentadbiran Langkawi juga boleh pertimbang usaha gotong royong bersama penduduk dan pengusaha industri pelancong. Saya pasti usaha ini juga akan dapat perhatian dan sokongan NGO yang bertapak di Langkawi.

7. Langkawi ini pulau bertuah dan telah menjadi tempat sumber rezeki bukan sahaja orang tempatan, tetapi ramai rakyat Malaysia yang berhijrah ke sini. Dan InsyaAllah jika kita berjaya kawal dan tangani masalah COVID-19 ini, Langkawi dapat kembali jadi destinasi pelancongan yang ulung dan ternama seperti dulu.

8. Tetapi, kita haruslah sama-sama pikul tanggungjawab. Saya harap penduduk Langkawi tidak bergantung kepada agensi Kerajaan semata-mata, tetapi bersama-sama jaga kebersihan persekitaran pulau kita ini.

9. Jika pulau ini kotor, pelancong di masa hadapan mungkin tidak minat untuk datang dan dengan itu kita akan hilang punca pendapatan yang kita nikmati hari ini.

Leave a Reply